Tuesday, December 24, 2013

Manusia Bukan Khalifah ALLAH

Khalifah’ secara bahasanya bermaksud ‘pengganti’ atau ‘wakil’.  Apabila kita mengatakan manusia adalah khalifah ALLAH, ini bermakna kita mengatakan secara langsung atau tidak langsung bahawa manusia adalah pengganti ALLAH atau wakil ALLAH.  Bolehkah kita mengatakan begitu?

Tidak!  Sama sekali tidak!

Manusia bukanlah pengganti atau wakil ALLAH.  ALLAH tidak memerlukan pengganti atau wakil.  DIA lah Al-Hayyu, Tuhan Yang Maha Hidup yang tidak perlukan sesiapa pun menggantikanNYA.  DIA lah Al-Qayyum, Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri yang tidak memerlukan bantuan sesiapa dalam melakukan kehendakNYA.  ALLAH tidak memerlukan sesiapa pun untuk diserahkan urusanNYA kepada makhluq.  Tetapi makhluq lah yang menyerahkan urusannya kepada ALLAH.  ALLAH lah Al-Wakil, Tuhan Yang Maha Diserahkan Semua Urusan.  Maha Suci ALLAH dari sifat-sifat lemah dan kekurangan makhluq.

Jika digunakan perkataan ‘manusia adalah khalifah ALLAH’ dengan sedar dan tahu akan maknanya, kita khuatir aqidah seseorang yang mengatakannya boleh jadi rosak.  Moga-moga ALLAH mengampunkan kejahilan kita semua, amin.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak pernah menggunakan perkataan ‘khalifah ALLAH’ sebagai menggambarkan dirinya yang mulia.  Tetapi Baginda menggunakan istilah ‘Hamba ALLAH’ atau ‘Pesuruh ALLAH’.
Selepas kewafatan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, pemimpin ummat Islam yang menggantikan posisi Baginda dalam memimpin ummat Islam digelar sebagai ‘Khalifaturrasul’ atau ‘Khalifah Rasul’ yang membawa maksud ‘Pengganti Rasulullah’.  Abu Bakr radhiAllahu `anhu menggunakan gelaran tersebut sehingga beliau meninggal dunia.  Kepimpinan Abu Bakr radhiAllahu `anhu kemudian disambung oleh `Umar radhiAllahu `anhu.  Beliau menggunakan gelaran ‘Khalifatukhalifaturrasul’ yang membawa maksud ‘Pengganti kepada Pengganti Rasulullah’, iaitu pengganti kepada Abu Bakr.  Kemudian beliau menukar gelaran tersebut kepada ‘Amirul Mukminin’ yang bermaksud ‘Pemimpin Orang-orang Beriman’ yang lebih memudahkan untuk generasi seterusnya.  (Bayangkan jika pemimpin selepas beliau menggunakan gelaran ‘Khalifatukhalifatukhalifaturrasul’, kemudian ‘Khalifatukhalifatukhalifatukhalifaturasul’ dan seterusnya.)
Jadi, kalimah ‘khalifah’ membawa maksud pengganti.  Sudah tentulah perkataan ‘Khalifah ALLAH’ tidak sewajarnya dilekatkan pada diri kita.  Sedangkan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam sendiri tidak pernah menggunakannya untuk dirinya yang mulia, apatah lagi kita.  Ditambah pula dengan maknanya yang tidak baik sebagaimana yang telah diterangkan di awal penulisan.

Kalimah ‘Khalifah’ Dan Berkaitannya Di Dalam Al-Quran

Di dalam al-Quran terdapat beberapa kalimah yang merujuk kepada kalimah ‘khalifah’, antaranya ialah:

(1)  Surah al-Baqarah, 2:30

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.  Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

(2)  Surah al-An`am, 6:133

وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ ذُو الرَّحْمَةِ ۚ إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِن بَعْدِكُم مَّا يَشَاءُ كَمَا أَنشَأَكُم مِّن ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ آخَرِينَ

Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Ia kehendaki, nescaya Ia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.

(3)  Surah al-An`am, 6:165

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(4)  Surah al-A`raf, 7:69

أَوَعَجِبْتُمْ أَن جَاءَكُمْ ذِكْرٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنكُمْ لِيُنذِرَكُمْ ۚ وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَمِن بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍ وَزَادَكُمْ فِي الْخَلْقِ بَسْطَةً ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

(5)  Surah al-A`raf, 7:74

وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِن بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِي الْأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ الْجِبَالَ بُيُوتًا ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifahsesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi”.

(6)  Surah al-A`raf, 7:129

قَالُوا أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِن بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْوَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?”

(7)  Surah Yunus, 10:14

ثُمَّ جَعَلْنَاكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ مِن بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

(8)  Surah Yunus, 10:73

فَكَذَّبُوهُ فَنَجَّيْنَاهُ وَمَن مَّعَهُ فِي الْفُلْكِ وَجَعَلْنَاهُمْ خَلَائِفَ وَأَغْرَقْنَا الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنذَرِينَ

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

(9)  Surah Hud, 11:57

فَإِن تَوَلَّوْا فَقَدْ أَبْلَغْتُكُم مَّا أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَيْكُمْ ۚ وَيَسْتَخْلِفُ رَبِّي قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّونَهُ شَيْئًا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَفِيظٌ

Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhankuakan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu.”

(10)  Surah an-Nur, 24:55

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akanmenjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

(11)  Surah an-Naml, 27:62

أَمَّن يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ ۗ أَإِلَٰهٌ مَّعَ اللَّهِ ۚ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُونَ

Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).

(12)  Surah Fatir, 35:39

هُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ ۚ فَمَن كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُ ۖ وَلَا يَزِيدُ الْكَافِرِينَ كُفْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ إِلَّا مَقْتًا ۖ وَلَا يَزِيدُ الْكَافِرِينَ كُفْرُهُمْ إِلَّا خَسَارًا

Dia lah yang menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa yang kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendiri; dan orang-orang yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; dan juga orang-orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.

(13)  Surah Sad, 38:26

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Jika diteliti di dalam ayat-ayat di atas, tiada satu pun kalimah ‘khalifah’ didampingkan dengan kalimah ‘ALLAH’ seperti ‘khalifah ALLAH’.  Dan jika diamati kalimah-kalimah yang digunakan di dalam al-Quran yang mempunyai kaitan dengan kalimah ‘khalifah’, semuanya membawa maksud menggantikan, iaitu menggantikan kaum tertentu.

Jadi, Bagaimana Sekarang?


Sebaik-baiknya kita berhati-hatilah terhadap perkataan-perkataan yang boleh membawa makna yang tidak elok seperti menyebut ‘manusia adalah khalifah (pengganti) ALLAH’ kerana maknanya boleh melunturkan aqidah.  Jika mahu disebut juga, sebutlah ‘ALLAH jadikan manusia sebagai khalifah’ atau ‘manusia adalah khalifah’.  Itu lebih selamat.  Dan sebegitulah disebut di dalam al-Quran.
Jika dilihat pada ayat 30 dari surah al-Baqarah, manusia telah dijadikan oleh ALLAH sebagai menggantikan kaum yang telah membuat kerosakan dan kemusnahan kepada bumi iaitu kaum jin.  Ya, manusia adalah pengganti kaum jin.  Mungkin kalau mahu disandarkan juga perkataan ‘khalifah’ itu dengan sesuatu, maka bolehlah disandarkan ia dengan perkataan ‘jin’.  Jadilah ia ‘manusia adalah khalifah jin’.  Tidak sedap bukan?  Itulah hakikatnya.  Jadi, cukuplah kita mengatakan ‘manusia adalah khalifah’.  Jika hendak lebih menginsafkan dan lebih tepat, sebutlah kita ini hamba ALLAH yang setiap perbuatan kita semuanya akan dipertanggungjawabkan!
Manusia bukanlah khalifah ALLAH.  Maha Suci ALLAH dari diganti atau diwakil.
Semoga kita semua menginsafi asal kejadian dan matlamat kehidupan kita, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyembah dan menghamba-abdikan diri kita kepada ALLAH.


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. 

(Surah adz-Dzariyaat, 51:56)

ALLAHU A`LAM.

5 comments:

  1. cantik lah bai . ilmu baru lah ! ngee :D

    ReplyDelete
  2. so , perhimpunan sekolah tu salah ke

    ReplyDelete
  3. tengs untuk info ni...

    amal follow sini
    semoga blog ni dimurahkan rezekiii...aamiiin
    amal singgah sini.. selamat malam...
    jemput singgah blog amal

    ReplyDelete

Ya Allah , Semoga Pemilik Blog Ini Cemerlang Dunia Dan Akhirat . Amin .